Tuesday, July 9, 2013

Hayati Ramadhan Secara Berkualiti.

Esok seluruh umat islam bakal menyambut bulan yang penuh barakah dan maghfirah yakni bulan Ramadhan Al-Mubarak. Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi kerana masih diberi peluang untuk menghadapi bulan yang penuh 1001 keberkatan ini. 

Di sebalik hati yang gembira dek kerana teruja menyambut Ramadhan, diri dikejutkan dengan  berita-berita pemergian ahli keluarga para sahabat yang pastinya meruntun hati. Takziah buat rakan-rakanku di atas pemergian insan tersayang. Ternyata Allah lebih menyayangi mereka. Al-Fatihah buat yang telah pergi, semoga jannahlah  tempat mereka yang abadi.





Bagi memuliakan dan menghormati Ramadhan kali ini, marilah kita mencontohi amalan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat supaya ibadah-ibadah kita di sepanjang Ramadhan dapat membina jati diri yang cemerlang lagi diredhai ALLAH Taala. Kita perlu memuliakan Ramadhan dengan acara-acara yang disukai lagi diredhai ALLAH. Antara amalan-amalan yang perlu diutamakan pada Ramadhan ialah:-



  1. Berpuasa dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan ALLAH. 
  2. Jauhi sama sekali percubaan merosakkan puasa dengan berbuka tanpa keuzuran kerana amalan itu termasuk antara dosa besar yang dilaknati ALLAH.
  3. Berusaha seberapa yang boleh untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah seperti solat Tarawih, tahajud terutama pada malam Lailatul Qadar.
  4. Pastikan sumber makanan dan minuman kita sepanjang bulan ini jauh dari sumber-sumber haram atau yang meragukan supaya ibadah puasa dan doa kita diterima ALLAH.
  5. Berusaha untuk berbuka puasa beramai-ramai kerana pahalanya sangat besar daripada berbuka bersendirian.
  6. Sentiasa melakukan solat lima waktu berjemaah.
  7. Banyakkan sedekah pada bulan ini kerana sedekah pada bulan ini lebih afdal berbanding bulan-bulan yang lain.
  8. Awasilah diri anda daripada menghabiskan waktu tanpa faedah kerana bulan ini bulan ibadah.
  9. Jika berupaya, kerjakan umrah dalam bulan ini kerana umrah pada bulan Ramadhan sama dengan sekali ibadah haji.
  10. Laksanakan ibadah puasa dengan bersahur pada akhir malamnya kerana sahur adalah sunah Rasulullah.
  11. Segerakan berbuka, sebaik-baik sahaja matahari terbenam.
  12. Sempurnakan mandi wajib sebelum naik fajar, supaya anda meneruskan ibadah puasa ini dalam keadaan bersih dan suci daripada hadas besar.
  13. Banyakkan zikir pada bulan ini terutama dengan membaca Al-Quran yang merupakan sebaik-baik zikir, supaya anda beroleh pertolongan dan syafaat Al-Quran pada hari akhirat.
  14. Peliharalah lidah anda daripada berdusta, mengumpat, maki hamun dan sebagainya di sepanjang bulan ini, kerana amalan-amalan ini pada bulan Ramadhan lebih besar dosanya.
  15. Segala gerak-geri dan tindakan anda pada bulan ini hendaklah tenang, tidak mudah beremosi dan tidak terkeluar daripada batas-batas kesederhanaan.
  16. Pastikan diri anda dalam bulan Ramadhan ini tidak melakukan sesuatu yang dilarang oleh ALLAH dan mentaati segala suruhanNYA.
  17. Banyakkan zikir dan istighfar dan memohon rahmat daripadaNYA terutama ketika berbuka dan bersahur.
  18. Banyakkan doa untuk diri sendiri, ibubapa, anak-anak dan seluruh umat Islam supaya mereka dikurniakan kesejahteraan.
  19. Bertaubat kepada ALLAH dengan taubat yang bersungguh-sungguh sepanjang masa, dengan meninggalkan maksiat, menyesali segala dosa-dosa yang lalu dan tidak akan mengulanginya lagi pada masa akan datang.
  20. Setelah selesai puasa Ramadhan, teruskan pula dengan berpuasa enam hari daripada bulan Syawal kerana pahalanya seumpama berpuasa sepanjang tahun.
  21. Teruskan dengan iman, takwa dan amal-amal yang soleh, sekalipun bulan Ramadhan sudah selesai hingga anda meninggal dunia.
  22. Banyakkan ucapan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. terutama pada hari Jumaat.

Sumber: http://mbas88.blogspot.com


-Ummuhafiey-
 

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

❤Klik-klik